kata-kata hikmah warisan Melayu

"Jika kerja hendak berarti, tunjuk ajar dijunjung tinggi" - Tenas Effendy

Selasa, Disember 20, 2011

natrah, kisah yang tidak sudah
















saya membaca buku "Natrah, Cinta, Rusuhan dan Air Mata" (UTM, 2010) setahun yang sudah. tidak dapat dinafikan sepanjang membaca buku setebal 474 halaman itu telah menyebabkan air mata saya tumpah. pertama, tentulah mengenang manusia bernama "Natrah" yang menjadi satu sejarah. kedua, mengenang detik pengorbanan dan kasih sayang seorang ibu bernama "Che Aminah". dan ketiga tentunya mengenang latar yang diangkat sepanjang penulisan, Kemaman daerah kelahiran saya yang indah. saya pasti ketiga-tiga ramuan yang dibangunkan pengarang, Fatini Yaacob yang membuatkan buku yang dihasilkan oleh mantan wartawan majalah Dewan Masyarakat itu kekal dalam fikiran saya sehingga terpaku dan sukar diterjemah.

lantaran itu, saat kaki saya menjejak Lapangan Terbang Schiphol, Amsterdam pada tanggal April 2011, manusia yang menganggu perjalanan saya ialah "Natrah". Entah kenapa wajah wanita yang pernah menjadi fenomena di bumi Melayu tetiba sahaja muncul saat saya ke bumi Belanda. buku Fatini Yaacob yang telah saya hadam setahun yang sudah muncul secara mendadak kala saya dan keluarga beberapa hari berada di negara kincir angin tersebut. dan memang tidak dapat dinafikan sepanjang tiga hari menyaksikan indah kuntum tulip yang mencelah, sebenarnya mengasak jiwa saya untuk membongkar kisah Natrah. watak Vermeulen dan latar Bergen op Zoom sebagaimana yang dilakarkan Fatini Yaacob dalam bukunya menggugah rasa dan emosi saya sepanjang menyusur Sungai Rhine. sehinggalah saya dan keluarga sampai ke Paris, jejak Natrah akhirnya tenggelam dalam sanubari dan tidak menganggu saya lagi.

maka, kesempatan saya mengucapkan "tahniah" menerusi mesej di muka buku (facebook) Fatini Yaacob merupakan permulaan ukhwah antara kami. disusuli dengan beliau menyatakan hasrat untuk berceramah tentang isu yang dipotretkan dalam bukunya, saya mula merangka program dengan para pelajar yang mengambil subjek "Penglahiran Bakat Kreatif". memang tidak dapat dinafikan untuk semester 1 sesi 2011/2011 ini saya merancang mengundang beberapa tokoh pengarang tanahair sebagai slot proses kreatif dalam subjek yang saya tangani tersebut. dan akhirnya setelah mengerah Nadzira Shahril, ketua kumpulan 2 (Subjek Penglahiran Bakat Kreatif mengandungi 3 kumpulan besar yang ditangani oleh 3 Pensyarah yang berbeza) yang begitu "taat" dan "patuh" merealisasikan projek yang sudah lama terperam dalam kepala, warga kampus Serdang dapat bersua muka dengan penulis buku "Natrah".

tanggal 16 Disember 2011, Datin Sri Fatini Yaacob muncul di laman perkarangan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi dengan raut manis. saya dalam kalut menguruskan banyak perkara sejak akhir-akhir ini begitu teruja dan berbahagia. buku yang telah lama saya hadam, pengarang yang telah lama saya idam akhirnya datang bertemu muka seolah-olah "melepaskan" semua rindu-dendam-resah-lara-duka-bahagia yang berbaur dalam diri selama ini. pengarang sempat berkongsi pengalamannya menulis buku "Natrah" dan nama Prof. Dr. Awang Sariyan disebut sebagai gurunya yang banyak berjasa. maka sepanjang pengarang berada di pentas berkisah tentang Natrah, sesekali muncul Amsterdam yang saya singgah, pun silih berganti pula tanah kelahiran Kemaman yang menguggah. malah menjelma juga wajah Che Aminah, wanita mulia yang terpaksa akur dengan mahkamah dunia walhal tanah tumpah Natrah terkenal sebagai "Mahkamah Keadilan" namun tidak berupaya membugar keadilan. oh tragisnya!

kemuncak majlis, kala mahasiswa kumpulan saya mempersembahkan "gerak minda" (lantunan puisi dan gerak lakonan) hasil daripada penghayatan terhadap puisi "Manusia Natrah" yang dinukilkan oleh seorang pemuisi di blog http://kotapuisi.blogspot.com/manusia-natrah.html, tetiba saya dibauri rasa sebak dan bahagia. walaupun sepanjang menguruskan slot beberapa siri bersama pengarang tanahair (Fatini pengarang yang keeempat datang bertandang) mengalami pelbagai cabaran, pun akhirnya para pelajar saya tetap teguh menguruskannya dan pertemuan dengan Fatini Yaacob merupakan kemuncak jayanya. syabas buat anak didik yang saya kasihi yang kesemuanya merupakan para pelajar Bacelor Komunikasi; moga segala usaha jerih kalian akan dilunasi dengan ganjaran yang setimpal kala keluar dari gedung ilmu sebagai medan meneruskan perjuangan. terima kasih yang tidak terhingga buat Datin Sri Fatini Yaacob yang budiman yang sudi bertandang ke kampus Serdang; moga puan dianugerah ilham menujah fikiran untuk terusan berkarya sebagai kekuatan perjuangan.

dan saya dengan kisah Natrah yang tidak sudah, tetap mengharapkan sokongan daripada insan-insan tersayang dan persekitaran yang sarat cabaran untuk meneruskan langkah perjalanan yang panjang. Amsterdam yang telah saya tinggalkan, Kemaman tanah tumpah kelahiran yang tidak pernah terpadam dalam ingatan dan catatan perjalanan yang telah lama terbengkalai dalam perancangan kesemuanya bergaul dalam diri untuk saya menyambung perjuangan sebagaimana titipan Fatini Yaacob di halaman bukunya buat saya: "selamat berjuang". ya Rabb, izinkan saya berkarya demi perjuangan agama dan nusa tercinta. dan moga semua pencinta bahasa dan sastera terusan berjuang demi ranah dan bangsa!

5 comments:

Datin Fatini Yaacob berkata...

Salam Dr Kamariah,

Terima kasih menerima saya sbg tetamu di majlis yg besar ertinya kpd seorang penulis kerdil seperti saya.Tidaklah sehebat mana tulisan saya - hanya sekadar menungan pemikiran dan ilham yg Allah bekalkan agar disampaikan sbg peringatan kpd bangsa yg semakin lemah, semakin lalai semakin lupa tugas hakiki sbg khalifah alam ini. Semoga ada yg berjaya bangkit berjuang di antara bnyk anak2 murid/ pelajar UPM yang istemewa ini. Salam

DS Fatini Yaacob
Penulis buku biografi semi novel, semi ilmiah, sarat fakta sejarah "Natrah: Cinta,Rusuhan dan Air Mata, terbitan Penerbit UTM

Zahiruddin Zabidi berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
Zahiruddin Zabidi berkata...

Assalamualaikum, semoga Y.Bhg Dr. Kamariah dan Y.Bhg Datin Fatini sentiasa dirahmati Allah.

Saya antara penulis pucuk yang punya impian menulis biografi semi novel, semi ilmiah dan sarat fakta sejarah di masa hadapan.

Justeru, ingin saya bertanya apakah ada subjek khas di universiti yang membicarakan disiplin ini atau ianya tertakluk di bawah jurusan penulisan kreatif juga?

Kepada Dr. KK dan Datin FY, saya kira kalau diadakan bengkel teknik penulisan ini daripada A-Z, saya pasti ia akan mendapat sambutan hangat apatah lagi jika dianjurkan oleh Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM.

Salam ikhlas,

ZAHIRUDDIN ZABIDI
http://kalamkhalifah.com/

Kamariah Kamarudin berkata...

Datin Sri Fatini
sekali lagi terima kasih yang tidak terperi atas kesudian singgah ke kampus Serdang. walaupun kedapatan para pelajar masih tidak mengerti makna sebuah "perjuangan" dan "sejarah", pun saya tetap berdoa agar suatu masa ada jalan-Nya untuk mereka. terima kasih sekalung budi Datin Sri Fatini kerana memahami situasi di kampus kami!

Kamariah Kamarudin berkata...

Sdr Ustaz Zahiruddin Zabidi
sebenarnya di UM dan UiTM saya kira ada. di UM di Jabatan Pengajian Media dan di UiTM di Mass Communication. pun, di UPM, saya juga cuba menerapkan hal yang sama walaupun tidak ada satu subjek khusus untuk menulis biografi semi novel, pun saya cuba galakkan bagi yang mampu.

oh, satu cadangan yang menarik. pun, saya bercuti panjang untuk semester ini. insya Allah pada semester akan datang, akan saya undang Datin Sri Fatini lagi!