kata-kata hikmah warisan Melayu

"Jika kerja hendak berarti, tunjuk ajar dijunjung tinggi" - Tenas Effendy

Sabtu, November 19, 2011

Penghargaan Manusia, Penghargaan Yang Maha Pencipta


ada ketikanya penghargaan diperlukan untuk seseorang meneruskan perjuangan dalam merempuh perjalanan yang panjang dalam kehidupan. pun begitu, tidak semua manusia di atas muka bumi ini akan menghadiahkan penghargaan hatta sahabat baik pun kekadang lupa untuk memberikan "penghargaan" kepada sahabatnya sendiri. apatah lagi jika ada dalam kalangan suami yang sengaja tidak memberi "penghargaan" kepada isteri yang menyebabkan wanita itu menagih "penghargaan" di luar rumah khususnya di tempat kerja dengan rakan-rakan sekerja.

senario memberikan penghargaan kepada sesiapa sahaja sebenarnya merupakan perkara yang molek untuk dilaksanakan. sementelah pula di tempat kerja yang memerlukan komitmen yang tinggi dalam melakukan tugasan seharian. lantaran itu, menjelangnya akhir tahun, pasti ada anugerah untuk pekerja cemerlang sebagai tanda penghargaan kerana pencapaian dalam menguruskan kerjaya masing-masing. begitu juga halnya yang berlaku di setiap kampus di seluruh tanahair. sahabat-sahabat kampus saya akan berkisah tentang "siapakah" yang dikatakan "pensyarah cemerlang", "siapakah" yang dianugerah "profesor madya", "siapakah" yang bakal bergelar "professor" dan sebagainya yang melayakkan seseorang ahli akademik itu berbangga dan berbahagia lantaran usaha jerihnya sepanjang tahun itu dinilai dan diberikan penghargaan yang sewajarnya oleh orang atasan yang punya kuasa.

justeru, ada kisah yang membahagiakan dalam kalangan sahabat-sahabat saya, pun tidak kurang kisah yang mendukakan yang terjadi terhadap mereka. maka, muncullah "ketidakadilan", "keprotesan", "kemarahan" dan pelbagai emosi andai sahabat saya ini tidak dinilai dan tidak diberi penghargaan yang selayaknya. berbanding dengan sahabat yang memang dinilai dengan telus dan tulus, pasti senyumbahagia mereka dibawa sampai berbulan-bulan lamanya. begitu berharganya nilaian "penghargaan" dalam diri seseorang untuk meneruskan perjalanan dalam kehidupan. barangkali dalam hidup ini, "keadilan" itulah yang sukar ditemui, dan banyak manusia yang ingin melihat orang lain tersungkur daripada membangunkannya daripada rebah. dan yang paling hiba andai orang yang berbahagia melihat orang lain rebah itu merupakan dalam kalangan sahabat-sahabat yang "bermulut manis", tetapi lain lagaknya bila di belakang. dan kisah tragis pastilah berlaku terhadap sahabat saya yang sudah belasan tahun berkhidmat di kampus, tetapi tidak pernah sekalipun dianugerah atau diberikan penghargaan oleh majikannya.

antara penghargaan manusia dengan penghargaan Yang Maha Pencipta, sudah pastilah penilaiannya berbeza. "banyakkan bersabar, sahabat. orang yang sabar tentu sahaja ganjarannya besar." itu sahaja ungkapan yang selayaknya saya hadiahkan kepada sahabat yang memiliki mulia jiwa. buat semua sahabat saya yang tidak dinilai dengan penghargaan manusia, usah kecewa. setelah berkerja keras sepanjang tahun dengan memenuhi semua piawaian yang ditetapkan dalam dunia kampus, maka ketepikan duka. kalaupun di atas dunia ini semua manusia tidak pernah menghargai usaha yang telah dilakukan, pun, semarakkan jiwa bahawa Yang Maha Pencipta akan tetap menghargainya sampai akhir nafas usia. justeru, hayatilah Surah at-Taghaabun, Ayat 17 yang bermaksud bahawa: "Jika kamu meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, nescaya Allah melipat gandakan pembalasannya kepadamu dan mengampuni kamu. Dan Allah Maha Pembalas Jasa lagi Maha Penyantun." antara penghargaan manusia dengan penghargaan Yang Maha Pencipta, tentu sahaja sahabat saya ini akan melemparkan senyum bahagia setelah usai membelek ummul kitab yang menjadi perisai nyawa sepanjang mengharung sarat duga dan kerenah manusia!

0 comments: