kata-kata hikmah warisan Melayu

"Jika kerja hendak berarti, tunjuk ajar dijunjung tinggi" - Tenas Effendy

Rabu, November 23, 2011

"anggerik persahabatan"




barangkali sahabat baik saya ini, kanda Rosnani Ripin mengetahui saya "gila" bunga orkid, maka pada pertemuan kami yang lalu, dia menghadiahkan saya sepasu bunga tersebut. wah, saya benar terharu. sudah lama kuntum anggerik tidak menyeri laman rumah saya lantaran kesibukan saya menguruskan banyak perkara sama ada di kampus atau pergelutan keluarga. malahan, beberapa pasu anggerik yang terbiar di perkarangan rumah saya bawa pulang ke tanah kelahiran pada sambutan Aidil Fitri yang lalu. saya tahu, emak boleh menjaga anggerik dengan baik berbanding dengan saya. dan saya juga tahu emak akan memelihara kuntum anggerik mekar di laman rumahnya dengan sempurna. maka, tiga pasu anggerik yang bertukar tanah, dari Bangi ke Kemaman kini berada dalam jagaan emak yang sungguh mempesona.

sejak kecil, saya membesar dengan kuntum anggerik. sejak remaja, saya terhibur dengan warna warni mekar anggerik yang menyeri laman rumah. dan saya banyak terinspirasi daripada kuntum dan mekar anggerik dalam menghasilkan karya kreatif. andai diri dijerat dengan pelbagai kemelut rasa, melihat kuntum anggerik, bahagia pasti menyeluruh jiwa. andai diri dibebat dengan rencaman emosi gelora, memandang mekar anggerik, tenang pasti memenuhi sukma. ya Rabb, besarnya nikmat anggerik yang diciptakan-Mu. dan terima kasih ya Rabb kerana menumbuhkan ilham dan motivasi buat diri apabila saya melihat kehebatan kejadian-Mu.

kini, walaupun saya dikekang dengan waktu, saya berusaha untuk menjaga anggerik yang dihadiahkan sahabat yang berasal dan berada di Tanah Rendah Sekebun Bunga. saya tetiba teringat sajak yang pernah dihadiahkan sahabat lain, Faizah Razali "kaktus persahabatan" bersama-sama dengan sepasu kaktus lama dahulu. sayangnya sepasu kaktus yang dihadiahkan sudah lama layu ditelan zaman, pun sajak "kaktus persahabatan" tetap kekal dalam ingatan. dan, persahabatan saya dengan Faizah tetap utuh bertahan walau diamuk zaman. mungkin, selepas ini saya akan menuntut Rosnani mengirimkan saya sajak nukilannya kerana dalam kehidupan ini, harus kita maklumi bahawa "apa sahaja yang bernama kehidupan tidak akan lama sifatnya, tetapi catatan dan riwayat persaudaraan yang tulus dan luhur tetap kekal berpanjangan." justeru, hargailah setiap detik dan nafas hayat perjalanan bersama keluhuran persaudaraan dengan sahabat-sahabat sejati yang memahami yang tiada tukar ganti dengan tidak sesekali mengguris rasa dan emosinya untuk sama-sama mengenggam jaya dalam kehidupan!

1 comments:

Rosnani Ripin berkata...

DALAM MENITI HARI YANG BERSISA HAYAT, KITA MASIH TERIKAT DENGAN IKATAN UKHWAH KASIH WALAU TIADA IKATAN DARAH DAGING, KITA MAMPU MENYUBUR KASIH WALAU TIDAK BERSIRAM SUARA. WALAU ZAHIRNYA,KITA TIDAK BERBICARA,NAMUN BATIN SERING BERBICARA INGAT DAN DOA BERSAKSIKAN TUHAN YANG ESA. DIA MAHA MENGETAHUI AKAN SETIAP MAKHLUK CIPTAANNYA. DIA MENGINGATKAN KITA AKAN KEBAIKAN DAN KEWUJUDAN KITA DI ALAM INI.INSYA-ALLAH MOGA KEHIDUPAN KITA DUNIA AKHIRAT DALAM REDHANYA. AMIN.